Karya-karya seni lukis khat Islami merupakan hasil seni tampak yang cantik dan menarik dihasilkan melalui kreativiti tersendiri daripada pelukisnya dengan menggunakan peralatan lukis. Hasil kreasi seni lukis khat Islami ini terus wujud dan berkembang di Alam Melayu yang tidak lagi hanya sekadar sebagai hiasan dan karya seni semata-mata bahkan sudah menjadi karya seni yang dihasilkan melalui ekspresi jiwa yang dapat mempengaruhi psikologi peribadi seseorang pelukis ketika menulis dan melukisnya sehingga dapat menghasilkan karya artistik dan estetik sebagai corak, simbol, dan falsafah kerohanian sesuatu bangsa. Selain itu, karya seni lukis khat Islami telah dijadikan sebagai gambaran artistik seni yang unik diekspresikan melalui budaya, adat dan alam sekitar yang mendasari kewujudan falsafah seni lukisan Islami tersebut. Perkembangan karya seni ini di Malaysia juga turut dikembangkan melalui pelbagai bentuk khat dan lukisan sebagai saluran seni dengan menggabungkan antara kecekapan, kemahiran dan simbol identiti orang Melayu yang mencerminkan kehidupan dan kebudayaan individu atau masyarakatnya. Kesimpulannya, kajian ini memaparkan ekspresi psikologi seorang penulis dan pelukis seni khat Islami sebagai satu usaha mengenal dan mengetahui pengalaman seniman yang menghasilkan pelbagai karya lukisan dan tulisan seni khat Islami di Malaysia, selain mampu menjadi salah satu wacana ilmu yang dapat mengungkapkan kekayaan khazanah dan warisan seni khat Islami masyarakat Islam di Nusantara.